Selasa, 19 Mei 2009

Pameran Ilham09 - Bernama


Saya antara yang menjadi peserta kecil di tengah-tengah kegahan yang GAH....
KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Pameran Seni Ilham 2009 ke-11 yang menampilkan karya seni kreatif para pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pameran anjuran UiTM dengan kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) itu mempamerkan 150 hasil karya seni membabitkan 150 pensyarah dari enam cawangan UiTM iaitu Kelantan, Perak, Terengganu, Sarawak, Kedah dan Selangor.

Pameran itu merupakan pameran seni ilham terbesar yang diadakan selama 10 hari bermula hari ini sehingga 8 April di Menara MIDF, Jalan Raja Chulan.

Pameran yang diperkenalkan sejak 1987, menjadi platform kepada warga akademik FSSR untuk berkarya serta berkongsi penemuan dan pengalaman baru mereka di samping mengetengahkan kepakaran dan kreativiti dalam menyemarakkan seni dan budaya Malaysia.

Sementara itu Naib Canselor UiTM Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah dalam ucapannya berkata pameran itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai satu dokumentasi khazanah warisan seni UiTM yang merekod pengembaraan dan perjuangan akademia bumiputera dalam melestarikan pendidikan seni lukis dan seni reka.

Katanya keunikan karya artistik graduan dan akademia FSSR harus digilap untuk mengukir keunggulan di arena industri kreatif antarabangsa.

"Dinamisme industri kreatif tidak boleh dinafikan lagi sebagai institusi yang mampu menyumbang kepada pembangunan mapan ekonomi dan sosial sesebuah negara.

"Justeru, saya berharap agar usaha kita (UiTM) hari ini bakal menyaksikan pemasaran produk kreatif di peringkat global oleh UiTM sebagai pelopor utama dalam industri seni visual negara," katanya.

Ilham yang bermaksud Ilmu Lahir Hanya Daripada Allah Yang Maha Indah meliputi hasil karya yang terdiri daripada teknik catan, arca, fotografi, grafik, cetakan, tekstil dan fesyen, kata Prof Ibrahim.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan